Friday, May 28, 2010

Siri Khas 1 [ Masjid di Beijing ]

Kononnya, terdapat 68 buah masjid di sekitar wilayah Beijing. Namun delegasi hanya berkesempatan melawat sebanyak 4 buah masjid sahaja. Selain dari Masjid Matien dan Masjid Changyin kami telah di bawa untuk menunaikan solat fardhu di masjid Nan Dou Ya dan masjid Niu Jie. Seperti masjid-masjid lain di Beijing yang kelihatan dari luar hanyalah pintu gerbang seakan-akan rumah lama tamadun China.

Masjid Nan Dou Ya yang terletak dalam kawasan bandar. Dari luar kelihatan seperti masjid ini kecil sahaja. Ketika melangkah masuk ke perkarangan masjid, delegasi dapati masjid ini agak besar dan mempunyai banyak bangunan. Kemudahan air panas juga ada sediakan di masjid ini. Ruang solat untuk kaum wanita terletak dibangunan yang di sebelah kiri. manakala untuk kaum lelaki di bangunan sebelah kanan. Petugas yang menjaga masjid agak peramah, dia sempat mengajar kami cara menggunakan peralatan untuk berwuduh.

Di luar masjid kelihatan beberapa peniaga keturunan Pakistan menjerit "Kajang! Kajang!" ketika mereka melihat delegasi dari UTHM. Pada mulanya delegasi berasa hairan dan tidak faham kenapa mereka menjerit begitu.Rupa-rupanya mereka menjual pelbagai kacang yang dihancurkan dan diletak madu. Beberapa orang daripada delegasi membeli kacang tersebut yang berharga 20 Yuan untuk 500 gram bersamaan RM 5.

Masjid yang terbesar dan tertua di Beijing ialah Masjid Niu Jie. Terletak di kawasan penempatan orang Islam di Ox Street, masjid ini baru di ubah suai sebelum pesta Olimpik tahun 2008. Masjid ini dibina oleh dua orang pedagang Arab yang melalui jalan Sutera dari negara mereka ke China, iaitu jalan perdagangan yang sangat terkenal zaman dahulu. Seperti bangunan-bangunan lain di Beijing ini , masjid ini juga dikellilingi tembok batu yang tinggi.Setelah melangkah masuk barulah delegasi terpesona dengan keluasan dan senibinanya yang unik. Masjid Niu Jie ini di bina pada tahun 995 M. Bukti kedatangan Islam ke kawasan ini terdapat dalam 2 kepingan batu bersurat besar yang diletakkan di perkarangan masjid ini. Juga di letak terdapatnya kawah tembaga besar yang telah digunakan untuk kenduri semasa perayaan maulidil rasul, Ramadhan dan hari perayaan Islam yang lain.

Dalam perkarangan masjid ini terdapat banyak bangunan. Bangunan pejabat, bangunan ruang solat lelaki, bangunan solat perempuan, dua bangunan dimana terdapat penerangan tentang sejarah masjid Niujie itu sendiri, bangunan untuk tandas lelaki dan perempuan adalah diantara bangunan yang terdapat di situ.Bangunan untuk ruang solat wanita terletak berjauhan dari ruang solat lelaki. Ketika melangkah masuk ke dalam ruang ini kami terpesona dengan kaligrafi islam dan corak islamik yang dilukis di tembok , siling dan dinding masjid. Pelbagai warna yang indah digunakan untuk mencantikkan kawasan ini. Kami tak pasti dah berapa lama lukisan dan corank ini . Yang pasti ia tidak dilakukan dalam tahun-tahun yang terdekat ini kerana generasi kini tidak lagi mempunyai masa untuk membuat kaligrafi dan corak sebegini banyak di dalam bangunan. Kami berjumpa dengan seorang warga China di tempat wuduk. Niat di hati hendak berbual seketika. Malangnya dia tidak memahami langsung bahasa Inggeris. Akhirnya, delegasi terpaksa memanggil saudara Chuan untuk menjadi jurubahasa.

Ketika delegasi melangkah keluar dari masjid ini, beberapa orang pengemis menyerbu kami untuk meminta sedekah. Sedih kami mengingatkan keadaan yang hampir di negara tercinta.

Uniknya Masjid di sini, ia tidak mempunyai khubah sepertimana masijid-masjid di malaysia. Budaya ukiran dan keseniaan China masih di terapkan dalam pembinaan masjid. Rekabentuk binaan masjid pula bila di lihat dari luar seolah-olah kelihatan sebuah pusat ibadah agama Buddha (Tokong) seperti di Malaysia. Kejayaan China mengekalkan tamadun dan budaya mereka menjadikan masjid kelihatan unik dan istimewa.

Sepanjang pejelajahan delegasi di beijing, tidak ramai golongan muda China Islam yang menutup aurat sehinggakan kami tidak pasti mereka beragama Islam atau tidak. Bahkan dalam restoran Islam yang kami lawati sendiri pemakaian skirt pendek sebagai uniform bagi pelayan adalah perkara biasa. Ketika melangkah masuk ke kawasan masjid kami hanya dapat berjumpa golongan yang berumur yang menutup aurat dan menjadi penjaga di sana. Biasanya golongan berumur lebih peramah dengan pelancong berbanding golongan muda.

Alhamdulillah, tempat solat bukan menjadi masalah untuk para delegasi menunaikan solat sepanjang perjalanan di Beijing. Orang yang beragama islam di China adalah antara golongan minoriti. Oleh itu, golongan ini di beri perhatian baik dan istimewa oleh kerajaan China. Delegasi sangat berbangga kerana dapat menyelamai sendiri tamadun Islam di China yang begitu tua namun kewujudannya tidak pernah bisa dinafikan oleh dunia masa kini.






0 comments:

Post a Comment